Monday, June 6, 2011

7 Istilah Yang Anda Perlu Tahu Dalam Fotografi Perkahwinan

-Seperti yang tersiar di dalam majalah Pesona Pengantin
-Oleh: Hasnuddin Abu Samah, Pengarah Urusan, Adan Impresif. 

1) ‘Photographer’ atau ‘cameraman’
Sebenarnya, perkataan ‘photographer’ dan ‘cameraman’ merujuk kepada dua kerjaya yang berbeza. ‘Photographer’ atau jurugambar adalah orang yang merakam gambar foto. Manakala ‘cameraman’ atau jurukamera adalah orang yang merakam gambar video. Jadi, gunakan istilah yang betul agar tidak timbul kekeliruan dalam komunikasi anda.

2) Fotografi digital & analog
Fotografi digital menggunakan kaedah merakam gambar foto tanpa menggunakan filem. Fotografi analog pula memerlukan filem sebagai alat untuk merakam gambar. Penggunaan kamera digital amat meluas pada masa kini kerana ianya amat memudahkan kerja jurugambar, sekaligus membantu jurugambar merakam gambar dengan lebih baik. Sekiranya gambar anda dirakam dengan kamera analog, anda perlukan negatif untuk membuat cetakan gambar. Namun, jika kamera digital digunakan, anda perlukan fail jpeg atau lain-lain fail imej untuk membolehkan gambar itu dicetak. Fail gambar ini biasanya disimpan di dalam CD. Gambar dari kamera digital hanya boleh dicetak di kedai gambar digital.

3) ‘Photojournalistic style’ & gaya fotografi tradisional
Rakaman gambar perkahwinan dengan pendekatan ‘photojournalist’ semakin diminati ketika ini. Gaya fotografi ini memperlihatkan banyak rakaman gambar kandid dengan aksi bersahaja. Setiap perkara akan dirakamkan seperti mana ianya berlaku tanpa arahan dari jurugambar. Antara teknik yang digunakan adalah penggunaan cahaya semulajadi yang membuatkan sesuatu gambar itu lebih realistik. Gaya fotografi tradisional pula adalah pendekatan rakaman gambar yang lebih tertumpu kepada rakaman potret pasangan pengantin dan perkara lain yang berkaitan secara terus denga sesuatu majlis perkahwinan. Namun, selain dari gaya yang disebutkan, terdapat banyak lagi pecahan gaya lain dalam rakaman gambar perkahwinan.

4) Album ‘sticky’, poket dan eksklusif
Album ‘sticky’ adalah album dimana kita boleh melekatkan gambar di atas mukasuratnya dan kemudian gambar tersebut akan dilitupi oleh helaian plastik nipis. Album poket atau ‘slip-in’ pula adalah album yang sudah siap mempunyai ruang berpoket untuk kita menyisip gambar ke dalamnya. Kini, dengan perkembangan teknologi fotografi digital, sejenis lagi album gambar telah diperkenalkan. Album gambar ini mampu mempersembahkan gambar foto dengan cara yang sangat menarik. Album gambar ini dikenali dengan beberapa nama seperti ‘exclusive album’, ‘digital album’, ‘special album’, ‘storyboard album’ dan sebagainya. Secara umumnya, album ini bersaiz
 
8 X 10 inci atau lebih besar. Gambar-gambar di dalamnya akan disusun atur dengan saiz dan kesan khas yang pelbagai.

5) Saiz gambar
Terdapat berbagai saiz gambar yang biasa digunakan. Gambar 3R bersaiz
 
3 X 5 inci adalah satu saiz yang popular satu masa dulu, kini digantikan dengan saiz 4R iaitu 4 X 6 inci. Gambar saiz ini biasanya sesuai dimuatkan ke dalam album. Untuk saiz yang lebih besar yang sesuai dipaparkan dalam bingkai untuk hiasan meja adalah 5R ( 5 X 7 inci ) dan 8R ( 8 X 10 inci ). Gambar yang lebih besar dan sesuai untuk bingkai hiasan dinding adalah saiz 11R ( 11 X 14 inci ) atau 16R ( 16 X 20 inci ). Anda juga boleh cuba membesarkan gambar dengan saiz ‘panoramic’ atau ‘square’ untuk mendapatkan kelainan pada paparan gambar anda. Satu perkara penting yang harus diingat sebelum membesarkan gambar ialah, anda perlu pastikan yang gambar tersebut benar-benar tajam dan beresolusi tinggi. Jika tidak, gambar tersebut akan kelihatan kabur setelah dibesarkan.

6) Pembantu jurugambar
Ada jurugambar yang menggunakan pembantu jurugambar apabila melakukan tugasan merakam gambar perkahwinan. Pembantu jurugambar penting untuk membolehkan jurugambar bekerja dengan lebih efisyen. Jurugambar akan memberi sepenuh tumpuan kepada aspek artistik sesuatu subjek, manakala pembantu jurugambar akan membantu dari aspek teknikal. Namun, cara kerja ini melibatkan kos tambahan pada harga perkhidmatan fotografi yang diberikan.

7) Gambar hitam putih dan sepia
Gambar hitam putih dan sepia ( warna coklat ) kini semakin diminati. Ianya memberikan sentuhan klasik atau nostalgia pada sesebuah gambar. Namun, kebanyakan gambar hitam putih atau sepia ketika ini tidak melalui proses yang tulen sebagaimana gambar hitam putih yang sebenarnya. Ini kerana, kos untuk menghasilkan gambar hitam putih yang tulen adalah lebih tinggi dari kos untuk menghasilkan gambar warna. Gambar hitam putih yang asli dihasilkan dengan merakam gambar menggunakan filem hitam putih dan dicetak di atas kertas hitam putih juga. Tona gambarnya lebih baik dan ianya tahan lebih lama. Kebanyakan gambar hitam putih sekarang ini dihasilkan dengan merakam gambar dengan kamera digital. Kemudian, gambar tersebut diubahsuai menjadi hitam putih di dalam komputer dan seterusnya dicetak seperti biasa.

Thursday, June 2, 2011

KREATIF TAK TENTU HALA @ SYOK SENDIRI

Oleh Hasnuddin Abu Samah  (FOTOTEACHER)

(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk Kreatif Tak Tentu Hala @ Syok Sendiri – 10 November 2008)

Tadi saya sempat dengar feedback dari seorang client yang tak berapa puas hati dengan hasil gambar yang dia dapat. Client ini baru kahwin. Jadi, semasa majlis perkahwinan dia baru-baru ini, dia telah upah seorang photographer. Photographer ini banyak shoot gambar-gambar ala-ala kreatif dengan ‘trend terkini’.
Masalahnya, client ini sudah melepasi usia ‘remaja’ dan jenis yang ada ‘citarasa. Client macam ini biasanya tidak berapa suka gambar yang terlalu kreatif dan style gila-gila. Gambar sebegini biasanya hanya digemari oleh pengantin remaja. Pengantin yang bukan remaja dan dari golongan pertengahan ke atas, lebih suka gambar standard yang cantik dengan sedikit sentuhan kreatif. Jadi, jurugambar seharusnya tahu, gambar jenis macamana yang boleh tackle hati pengantin.
Kalau shoot gambar kreatif yang berpada-pada, saya rasa, ramai orang boleh terima. Kreatif itu memang bagus -yang menjadi masalah sekarang ini, gambar kreatif yang sudah jadi karya syok sendiri; gambar yang dirakam tanpa memikirkan ‘hati dan perasaan’ orang lain.
Ramai jurugambar sekarang terikut-ikut dengan trend dan pelbagai gaya fotografi. Yang mengikut itu pula, tidak tahu kenapa dia mengikut. Yang dia tahu, dia mengikut sahaja. Orang shoot pakai fisheye lens, dia ikut. Orang shoot low angle, dia ikut. Orang shoot candid, dia ikut.
Nak shoot pakai  fisheye lens, kenalah tengok subjek yang sesuai. Bukan semua subjek sesuai dirakam guna fisheye lens. Kalau boleh, janganlah letak muka subjek di bucu framing sampai kembang muka subjek kita tu dek distortion. Kita sebagai jurugambar memanglah suka efek distortion dan perspectiveyang unik ini. Tapi, kita kena tanya diri kita, siapa yang bayar kita ambil gambar ni? Dia sukakah apa yang kita suka? Client ni, selalunya dia tak complaint depan-depan kita – maklumlah, orang Melayu penuh dengan sopan santun. Tapi, saya banyak kali dengar client complaint pasal kes gambar herot dan kembang ni. OK, sebelum saya diserang, saya nak buat disclaimer. Kalau ada jurugambar yang memangconfirm kata client dia sangat suka gambar muka herot dan kembang – then, go ahead. Janji client suka. Lagi satu, pasal isu distortion ni, saya bercakap untuk wedding photography saja. Bidang fotografi lain seperti fine art, photojournalism dan sebagainya, saya taknak komen pasal distortion. Itu dah tajuk lain.
Lagi satu pasal shooting dari low angle. Shoot dari low angle ni memang dah ada dalam teknik fotografi sejak zaman Tok Kadok lagi. Cuma sekarang ni dah terover popular. Kalau nak shoot low angle tu memanglah boleh. Tapi, kena tengoklah jugak kalau-kalau angle tu mencacatkan gambar, terutamanya muka subjek kita. Satu orang client ni complaint kat saya, ada sorang jurugambar ni banyak shootgambar kahwin dia dari low angle. Kata client ni, lubang hidung dia nampak besar dari low angle. Lubang hidung dia ni dahlah memang besar, shoot pulak dari low angle, memang nampak lubang hidung je la.
Lagi satu complaint yang selalu saya dengar dari client ialah pasal photographer shoot gambar kandid budak-budak. Budak-budak kecil ni memang comel. Tapi, kalau boleh, kena tengok jugak, apa hubungan budak kecil tu dengan pengantin dan samada pengantin suka atau tidak gambar-gambar kandid macam ni. Janganlah main tembak saja – shoot gambar kandid budak-budak ni sampai 50 frame, macam-macam gaya, sampai lupa nak shoot gambar pengantin.  Alih-alih, budak kecil tu rupanya anak kepada kawan kepada pakcik kepada jiran kepada mamat yang supply P.A. System kat majlis kahwin tu. Tak ke haru. Gambar budak tu pulak dah dimasukkan dalam custom album, dengan centre spread layout.Double haru…
Minta maaf kalau saya ada menyinggung mana-mana pihak dalam artikel ni. Sekadar berkongsi dan menyampaikan apa yang saya dengar dari pelanggan – untuk kebaikan kita bersama. Apa yang saya tulis, hanya betul bagi pendapat saya dan saya percaya, ada pendapat lain yang betul juga. Harap anda boleh kongsi pengalaman dan pendapat anda di ruangan komen di bawah ni.

Untuk mendapatkan lebih banyak maklumat, sila layari www.fototeacher.com